Hati Maknawi.

Saturday, April 9, 2011


Dari hati maknawi


Tak mampu lisan meluah bicara


Bergetar, bergegar latifah rasa


Ah, robitoh ini terlalu sirri


Pada mengungkap cinta yang maujud,


Dalam qalby.



Semalaman hamba tafakkur


Di sela-sela tazakkur


Al-Hayyu…


Al-Ghofur…


Al-Wadud…


Terpana.


Hamba terkesima,


Pada sezarah musyahadah cinta-Nya.



Malu amat, oh!


Saatku selak helaian dosa,


Lumpur zulumat terpalit disini-sana


Namun..


Semakin itu juga,


Lembaran cinta kian jelas di ruangan mata.


Menyatakan wujud-Nya


Dari basiroh rasa.


Huwallah!



Cinta itu..


Hakikatnya terlalu dalam


Tak mampu ku selam.


Dan pendosa itulah aku…


Pendosa yang ingin bercinta.


Nota: Puisi ini mengisahkan seorang hamba berdosa yang merasakan betapa besarnya kasih-sayang Allah 'menemani' perjalanan hidupnya. Walau sering dia terlalai dan terleka dari mengingati Pencipta. Ternyata, Allah sentiasa ada. Memujuk di saat berduka. Mengampunkannya di kala berdosa. Malah, memberikan cinta pada jiwa pendosa sepertinya. Maha Baiknya Allah...



Sungai Petani,


9 April 2011


Al-haqeerah.

Read more...

Di daerah permusafiran ini..

Saturday, April 2, 2011


Takdir telah membawa diri ini ke bumi Perlis. Meneruskan langkah sebagai seorang hamba sehingga pada suatu waktu yang telah ditentukan-Nya. Sungguh diri tidak pernah bermimpi atau pun mengangankan akan berada di bumi Indera Kayangan ini. Tetapi disana takdir telah dirancang oleh Yang Maha Perancang dan hati meyakini dengan pasti, bahawa itulah sebaik-baik perancangan, sebaik-baik penyusunan malah sebaik-sebaik anugerah. Mustahil mempunyai cacat cela.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Selagi mana nafas bisa berhembus, detakan jantung masih berdegup, uyun ini masih bisa berkedip, maka kehidupan ini tidak akan sunyi daripada taklifan. Kitalah pengembara yang sedang dan akan bermusafir ke lima daerah permusafiran. Dari alam ruh, kita bermusafir ke alam rahim. Lebih kurang sembilan bulan disitu, kita bermusafir pula melangkah ke alam dunia. Warna–warni dunia terkadang membuat kita terlupa malah terlalai bahawa kita adalah seorang musafir di perjalanan. Nun dua lagi daerah masih belum kita tempuh. Daerah permusafiran yang sering manusia alpa.

Alam kubur (barzakh) dan alam akhirat.

Ya, dua daerah permusafiran yang sering diri terlupa, malah setiap insan tak akan terkecuali daripada menempuhnya. Bagaimana ‘jenis’ kehidupan yang kita bina di daerah dunia, maka ia akan menentukan ‘jenis’ destinasi yang akan dihuni kelak. Jannah atau Jahannam – merupakan destinasi abadi sebuah permusafiran. Apa yang dituai, maka itulah yang akan diperoleh. Mustahil seseorang yang menuai padi akan mendapatkan hasil bunga lalang dan sebaliknya. Begitulah tamsilannya.

Di daerah permusafiran ini, kalbu bertafakur. Sejauh mana pemberian daripada-Nya dipandang sebagai sebuah anugerah. Ujian, anugerah. Suka, anugerah. Sedih, anugerah. Problem, anugerah. Rindu, anugerah. Duka, anugerah.

Bagaimana sedih menjadi anugerah?

Ia akan menjadi anugerah bilamana seseorang memandang bahawa kesedihan itu merupakan cara Allah mengingatkan manusia kepada-Nya. Semakin sedih, semakin ingat Allah. Apabila berduka, semakin banyak zikrullah. Saat dilanda masalah, semakin lama bersujud di sejadah. Lalu Allah berkenan mengangkat darjatnya dan memasukkannya di kalangan para muqorrobin. Maka, bukankah ia merupakan anugerah?

Lihatlah semua pemberian-Nya sebagai anugerah-anugerah yang akan membawa kita memanfaatkan setiap detik permusafiran ini menjadi ruang-ruang berharga yang akan menghantarkan kita ke Syurga.

Murid,

Ummul Barakah.
30 Mac 2011

Read more...

Hamba Pencipta.

Friday, January 14, 2011


Sahabat..

Pernahkah kau ketemu?

Hamba yang tak keruh hatinya kerna dunia

Di saat manusia gila menimbun harta

Dia malah menjentiknya begitu saja



Pernahkah kau bersua?

Ada di kalangan hamba-Nya

Yang memandang emas dan tembaga tak ada bezanya

Matanya tak terpaut pada kilau istana dunia

Kerna jiwanya sudah tergoda pada mahligai di Syurga



Pernahkah kau bertemu sahabat..?

Di waktu manusia mengejar dunia,dunia dan dunia

Dia pula sedang asyik tenggelam dalam samudera cinta

Merindukan pertemuan agung dengan Pencipta



Pernahkah kau bertemu..?



Mereka itulah aduhai sahabatku..

Hamba-hamba yang memandang dunia dengan jendela akhirat

Pandangannya menembus ke awan bahkan galaksi

Terkadang pakaiannya berdebu tak berganti

Dek menanti persalinan sutera kekal abadi

Walau jasadnya berlabuh di alam dunia

Ruhnya terbang bebas

Nun ke sana...

Menuju Pencipta.



Diadaptasi daripada puisi Hubabah Halimah Al Aydrus.

14 Jan 2011/ 9 Safar 1432H

Sayyidul Ayyam (Sollu 'ala Habib)

Al Haqeerah Ummul Barakah

Read more...

Manifestasi Hijrah

Tuesday, December 7, 2010


Bismillah..

Salam Maal Hijrah!

Berada di awal-awal Muharam terasa menyegarkan. Selalunya, apabila melangkah ke tahun baru, kita akan terkenang kembali peristiwa hijrah Rasulullah solallah alaihi wasallam dan para sahabat radhiyallahu anhum dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Sungguh hijrah Rasul dan para sahabat bukanlah sekadar hijrah jasadiah (fizikal) akan tetapi hijrah yang disertai dengan ruh keyakinan kepada Allah, hijrah untuk memantapkan aqidah dan tauhid saat dakwah Rasulullah ditentang hebat oleh musyrikin Makkah, hijrah demi kelangsungan penghayatan agama yang mana disambut baik oleh penduduk Kota Madinah.

Betapa hijrah Rasulullah dan para sahabat merupakan sebuah manifestasi agung meninggikan syiar agama Allah!

Rasulullah solallah alaihi wasallam berhijrah kerana taatkan perintah Allah dan mengharapkan redha-Nya. Maka, bagaimana pula dengan kita.. penghayatan kita kepada makna hijrah. Sudah berhijrahkah kita? Hijrah minda dan keyakinan, hijrah sikap dan akhlaq, hijrah identiti dan peribadi agar semuanya berada di dalam bingkai yang diredhai Ilahi.

Di awal-awal Muharam ini, hendaknya menjadi ruang-ruang muhasabah diri.
Mudah-mudahan kita berhijrah.. daripada menjadi hamba yang mencari selain dari-Nya dalam kehidupan dunia yang singkat ini, kepada hamba yang hakiki, yang mana hanya mencari Allah di dalam kehidupannya.

Manifestasi Hijrah: Menjadi hamba yang 'lebih' sujud

Usah takut dan gentar untuk memulakan langkah hijrah. Usah ragu dan risau akan duri-duri yang mungkin menyucuk apabila berada di atas jalan yang lurus.

Terkenang peristiwa bilamana Rasulullah solallah alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar radhiyallahu anhu berada di dalam gua Thur.

Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a ketakutan dan cemas bimbangkan Baginda diapa-apakan oleh musyrikin Makkah. Apa kata Rasulullah Al-Amin?

Baginda menuturkan “Janganlah engkau merasa risau dan sedih. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.”

InsyaAllah..saudaraku yakinlah Allah bersama kita.

Salam tahun baru 1432H. Moga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lalu.



1 Muharam 1432H
Al Haqeerah,
Ummulbarakah.

Read more...

Maahad Darul Hadith: Mengkader generasi muhaddith!

Friday, November 26, 2010


Penubuhan Maahad Darul Hadith telah diilhamkan oleh Al Marhum Ustaz Hj. Suhaimi b.Hj Ahmad Al-Aydrus, pengasas kelas pengajian hadith PAKSI sejak dari tahun 1993. Buat julung kalinya, lembaga tadbir Maahad Darul Hadith membuka peluang kepada para pencinta ilmu untuk mengikuti pengajian di Darul Hadith yang diuruskan oleh Yayasan PAKSI secara sepenuh masa dengan system talaqqi dan hafalan ilmu-ilmu asas dirasat islamiyyah wal arabiah dan seterusnya mengikuti pengajian dauratul hadith yang akan dibimbing oleh barisan guru-guru yang mursyid dan mempunyai kepakaran dalam sistem pengajian turath dan bersanad.



Almarhum Ustazuna,Ust.Hj Suhami b.Hj Ahmad Al Aydrus

Perasmian tapak kompleks Darul Hadith telah disempurnakan oleh Syeikhuna, Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki pada 8 September 2006 dan majlis pelancaran Maahad Darul Hadith pula telah disempurnakan oleh Al-Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Ibrahim Abdul Baith Al Husaini Al Kattani bersama Al Fadhil Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki pada 15 Oktober 2010 (Jumaat) baru-baru ini.

Penasihat Kehormat Maahad Darul Hadith, Yayasan PAKSI


Objektif penubuhan Maahad Darul Hadith:

-Melahirkan pelapis ulama’ yang belajar, mengembangkan dan menyebar luaskan hadith dan ilmu hadith dan berusaha untuk melahirkan golongan Muhaddith.
- Memberi ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat setempat dan ummah
- Berusaha memelihara system pengajian turath
- Membuka peluang dan ruang kepada orang ramai untuk sama-sama membuat kebajikan dan amal jariah.

Bidang Pengajian Maahad Darul Hadith merangkumi Dirasat Islamiah dan Ulumul hadith dengan dua kaedah pengajian:

- PROGRAM MUNTAZIM (JANGKA PANJANG)

Kelas pengajian dauratul hadith (tetap) mengambil masa selama 3-6 tahun dengan memastikan pelajar mengikuti dan menghabiskan kitab-kitab yang ditetapkan. Pelajar akan melanjutkan pengajian ke Timur tengah.


- PROGRAM MUNTASIB (JANGKA PENDEK)

- Menjalankan kuliah tetap mingguan pada setiap hari Jumaat dan cuti sekolah
Program tafaqquh bagi memahami serta menerima sanad beberapa buah kitab hadith muktabar dalam jangka masa yang ditetapkan
-Program remaja- Memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada remaja

Syarat Kemasukan:

Berumur 13 Tahun ke atas
Menguasai bacaan Al-Quran dan teks arab
Mempunyai asas B.Arab (Nahu/ Sorof)
Menguasai penulisan melayu dan Arab
Berminat menghafaz Al-Quran dan hadith
Mampu mengikuti sepenuhnya pengajian

Yayasan PAKSI membuka peluang kepada masyarakat untuk merebut peluang beramal jariah, menyumbang zakat untuk pembinaan, penyiapan prasarana disamping menampung perbelanjaan bulanan yang dianggarkan melebihi RM 20,000

Sementara kompleks Maahad Darul Hadith siap sepenuhnya, kelas akan dijalankan di Masjid Akar Peluru, Jalan Pegawai Alor Setar.


Sebarangan sumbangan boleh disalurkan kepada:

PUSAT PENGAJIAN DARUL HADITH
Akaun BIMB atas nama Yayasan PAKSI
No. 02011010098651 (BIMB Cawangan Alor Setar)

Sila hubungi untuk keterangan lanjut:
017-5039399 (Cikgu Sukarno)
019-5430269 (Ustaz Zainul Asri)
017-4709002 (Setiausaha)

Akan hadir dari ummat ini,
Generasi muhaddith ulama rabbani,
Penyambung kalam pewaris Nabi,
Pejuang tauhid, aqidah yang murni,
Ingin jadi seperti Imam Bukhari
Imam Muslim juga Tirmizi,
Tak lupa yang sentiasa di hati,
Imam Abu Daud juga Nasaie,
Hadith-hadith Nabi tersemat di nubari,
Akan hadir dari ummat ini,
Pencinta Allah dan juga Rasulullah,
Diam dan geraknya ittiba’ sunnah,
Dialah qudwah pengislah ummah,
Yang mengalir dalam jiwanya hadith-hadith Rasulullah!
Akan hadir dari ummat ini!

-Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Hj Suhaimi b Hj Ahmad Al Aydrus-

ummulbarakah

Read more...

SAMUDERA BAHAGIA

Tuesday, November 2, 2010


Hari itu, seorang gadis bertanya pada gurunya

“Wahai guruku...bahagia itu apa menurutmu?”

“Adakah seronok itu tandanya bahagia, sedang duka itu tandanya sengsara?” Gadis itu bertanya lagi.

Gurunya lantas menjawab.

“Ya Binti....tanyalah pada hatimu...”

Gadis itu lebih penasaran.

“ Bahagia itu ada pada hati yang lapang wahai anakku” Guru itu meneruskan bicara.

“Hati yang lapang itu pula umpama air lautan yang luas, sedang hati yang sempit umpama air di dalam segelas balang”

“Cuba direnungkan nak...”

“Andai setitis najis dimasukkan ke dalam segelas balang yang menakung air itu, apa akan terjadi?” Giliran guru itu bertanya.

“Oh, pastinya air di dalam balang itu juga akan bertukar menjadi najis” Jawab gadis itu.

“Nah anakku...benar katamu, sedang setitis najis tadi tidak akan sedikit pun mempengaruhi air samudera lautan yang luas”

“ Anakanda…begitulah bahagia yang kau cari. Bahagia itu ada pada hati yang luas. Sedikit masalah tidak akan membuat hatimu jadi gundah ..Sedang hati yang sempit tempat menyimpan penyakit. Secebis masalah yang menimpanya sudah cukup membuatkan fikirannya terbeban. Jiwa dan akalnya bisa jadi tak keruan.”

“Lapangkan hatimu ya binti...nescaya disana akan kau temui bahagia”

Gadis itu mengangguk–angguk. Matanya bercahaya.

“ Apabila hati menjadi lapang, suka dan duka tetap akan membahagiakanmu kerna kedua-dua itu datangnya dari Tuhan-Mu”

Guru itu akhirnya merangkul bahu anak muridnya dan berkata.

“ Anakku.. Masukkan yang besar-besar di dalam hatimu supaya ia bisa luas dan lapang”

“ Apakah yang besar itu wahai guruku yang mulia?”

Guru itu tersenyum sambil menjawab:

“MASUKKAN ALLAH KE DALAM HATIMU.”

Dedikasi buat Guru cinta kami, Hubabah Halimah Al-Aydrus

musim-musim banjir,
Alhaqeerah,
Ummulbarakah.

Read more...

rumah cinta

Monday, November 1, 2010


Teman,
Kuingin kongsikan denganmu sebuah hadith yang pernah kubaca, yakni hadith riwayat Ibnu Majah dari Saidatina Aisyah (radhiyallahu anha)

Di dalam hadith itu, telah kutemui khazanah-khazanah berharga.

Kutemui…adab berdoa yang diajarkan rasul kepada kita, umatnya yang dikasihi.
Kutemui…kemustajaban doa itu perlu disertai dengan menyebut nama-namaNya yang agung (ismul a’zom)
Kutemui… sabarnya seorang suami mulia dalam meladeni belahan jiwanya, Sayyidatina Humaira’..
Kutemui pula... bijaksananya ummul mukminin kecintaan kita memuliakan imamnya dalam bicara dan tindakan. Bersungguh-sungguhnya Sayyidatina Aisyah menuntut ilmu dan mengejar hasanah demi redha Allah.

Begini ditintakan hadithnya:

Rasulullah (solallah alaihi wasallam) bersabda:

“Wahai Aisyah, adakah kamu tahu, sesungguhnya Allah telah menunjukkan kepadaku sebuah nama yang bila disebut dalam doa pasti doa itu diperkenankan?”

Aisyah menjawab:” Demi ayah dan ibuku, wahai Rasulullah tolong ajarkan kepadaku..”

Nabi solallah alaihi wasallam bersabda: “ Perkara itu belum layak untukmu wahai Aisyah..”

Aisyah Berkata: Maka aku pun menjauhi dan duduk beberapa ketika.

Kemudian aku bangkit dan kucium kepala beliau, lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah…tolong ajarkan kepadaku…”

Beliau kembali menjawab: “Perkara itu belum layak untukmu. Belum saatnya aku mengajarkannya kepadamu wahai Aisyah, kerna nama itu tidak layak kamu gunakan untuk meminta perkara duniawi”

Aisyah berkata: Maka aku pun bangkit dan mengambil wudhu, lalu aku solat dua rakaat. Setelah itu, aku berucap, “ Ya Allah, aku menyeru-Mu dengan nama Allah, menyeru-Mu dengan nama Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih), menyeru-Mu dengan nama Al-Barr Ar-Rahim (Yang Maha Dermawan, Yang Maha Penyayang) Aku juga menyeru-Mu dengan semua nama-nama-Mu yang baik yang ku ketahui dan yang tidak ku ketahui, agar engkau mengampuniku dan merahmatiku...”

Aisyah berkata: Maka Rasulullah solallah alaihi wasallam tersenyum dan bersabda:

“Sesungguhnya nama itu ada dalam nama-nama yang kamu ucapkan tadi.”

(HR Ibnu Majah dari Saidatina Aishah (radhiyallahu anha)

Subhanallah walhamdulillah. Indahnya akhlaq dan rumah cinta Rasulullah (solalallah alaihi wasallam).Usai membaca hadith ini. Saya juga tersenyum seperti anda.
Teman, Selamat berdoa.

Lailahaillallah - Muhammad Rasulullah,
Ummulbarakah.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

Keep in ukhuwwah

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP