Astaghfirullah...

Thursday, July 8, 2010


Astaghfirullah,

Pada pandangan mata yang tak terjaga, pada lirikan-lirikan yang disengaja, memandang apa saja sesuka rasa. Sedangkan mata ini dan tiap lirikannya akan dibawa di hadapan-Nya.

Astaghfirullah…

Pada lisan yang masih tega mengata. Bersedap-sedap dengan kata-kata yang termasuk nista. Sungguh lidah tidak bertulang, ringan menuturkan apa saja. Sedangkan lafaz dan kata itu ada rakamannya pada VCD Yang Esa.

Astaghfirullah…

Pada telinga yang suka mendengar umpatan percuma, juga bisikan-bisikan rahsia.Tak kurang melodi-melodi ciptaan manusia yang diulang dengar tak terkira bilangannya. Sedangkan kalam Pencipta cuma sekali-sekala..

Astaghfirullah…

Pada isi perut yang terkandung makanan-makanan syubhat di dalamnya. 1001 makanan lazat-lazat sudah pernah dijamah, tapi kadang-kadang masih terlupa juga untuk bersyukur dan mengucapkan walau kata ‘alhamdulillah’

Astaghfirullah…

Pada hati yang terlalu banyak menyerap al-wahan , sehingga dunia menjadi cita-cita dan angan-angan. Sedangkan hati itu jugalah yang akan dibawa menghadap Pencipta. Lupakah kepada janji-Nya, bahawa hanya hati yang sejahtera (qolbun salim) yang akan selamat di alam sana.

Astaghfirullah al adzim…

Pada tiap anggota dan pancaindera, pada tiap urat saraf dan daging yang membungkus tulang-temulang, Andai jasad ini masih tidak kuat untuk memaknai ibadah pada-Mu. Andai anggota ini masih lengah memenuhi seruan “Fastabiqul khairat!”. Andai tubuh ini selalu lemah dalam zikrullah, Andainya anggota yang sempurna ini masih tidak sempurna menunaikan hak-hak Mu... Sedangkan ada di kalangan hamba-Mu yang rela hancur seluruh tubuhnya untuk memenuhi seruan jihad di jalan-Mu.. Ada di kalangan hamba-Mu yang tidak sempurna anggota tubuhnya, tapi rela menyerahkan seluruh raganya demi menyempurnakan ketinggian kalam-Mu...

Astaghfirullah al adzim….
Benarlah Wahai Zat yang memiliki segenap kebesaran dan kemuliaan, jika tanpa rahmat dan kasih-sayangMu. Apalah ada pada amalku yang terlalu sedikit itu. Ditambah pula dengan bermacam-macam dosa yang berselirat disini-sana. Khusyuk usah bicara, entah tertinggal di mana. Justeru itu, tiada apa yang dapat menyelamatkan. TIADA. MelainkanMU...... YA ALLAH.

hajatkan doa kalian,
ummul barakah

Read more...

life is about choices

Wednesday, May 26, 2010

Pilih yang mana

Hidup ini dibentangkan dengan pilihan – pilihan. Setiap hari, sama ada sedar ataupun tidak, kita akan berdepan dengan pilihan . Dari perihal rutin seharian seperti ‘ hari ni nak makan apa? ’, ‘nak pakai baju yang mana ya? ’,’ nak pergi shopping di mana?’, ‘nak beli yang mana? ’, ‘ nak baca buku apa? ’, ‘nak pilih warna apa? ’ atau pun ‘ nak pergi mengaji ke,nak rehat di rumah saja? ’. Dari perihal rutin yang nampak simple, sehinggalah kepada hal – hal yang besar dan complicated di dalam kehidupan seseorang. Ada tentang jodoh, tentang kerjaya,tentang cinta ( ups! ), tentang cita – cita, atau tentang apa saja. Ternyata, semuannya adalah pilihan – pilihan yang menuntut keputusan.


Keputusan yang akan dibuat pula bergantung kepada cara kita melihat pilihan – pilihan tersebut.Ia berbalik kepada nilaian peribadi atau pun inner value dalam diri seseorang , yakni berdasarkan neraca apa dia menimbang pilihan yang terbentang di depan mata. Adakah keputusan itu dibuat di atas neraca taqwa ataupun nafsu dulu yang berbicara ?


ISTIKHARAH & ISTISYARAH

Agama kita mengajarkan supaya keputusan yang hendak dibuat haruslah melalui istkharah dan istisyarah. Sungguh, tidak lengkap istikharah tanpa istisyarah ataupun sebaliknya. Istikharah tidak dapat berjalan secara tunggal tanpa diapit oleh istisyarah. Di situ ada pergantungan kepada Khaliq dan hubungan dengan makhluq. Menurut para ulama’, jawapan kepada istikharah pula tidak mutlak melalui mimpi semata - mata. Petandanya mungkin saja melalui gerak hati, kecenderungan atau pun dipermudahkan jalan – jalan kepada urusan tersebut. Boleh jadi juga, jawapan istikharah ada pada istisyarah. Perbincangan demi perbincangan akhirnya sampai kepada satu titik jawapan. Pastinya istikharah tidak sekali – kali dikesampingkan kerana istikharah dan istisyarah ibarat irama dan lagu. Jika kurang salah satu, maka pincanglah ia. Istisyarah tanpa istikharah pula seolah – olah kita lebih mengutamakan pendapat makhluq daripada Sang Pencipta. Jelas di situ akan terjadi kepincangan kerana ‘pendapat’ Allah dibelakangkan.

Di Malaysia, pada sesetengah orang, istikharah hanya relevan untuk urusan jodoh sahaja. Istikharah hanya untuk urusan nikah kahwin. Doa istikharah pula wujud dalam pelbagai bentuk dan versi. Ada juga yang saya jumpa berbunyi begini ‘ Ya Allah, andainya dia telah ditetapkan untukku, maka dekatkanlah dia kepadaku, permudahkan urusan Ya Allah.. tapi seandainya dia bukan untukku, bawalah dia jauh dari pandanganku dan tunjukkanlah kelemahan dan keburukannya ‘. Allahu.. rangkap pertama di dalam doa tersebut, InsyaAllah bisa saja diamalkan cuma rangkap yang terakhir, mudah – mudahan bukannya pilihan. Apa perlunya kita meminta supaya Allah membentangkan keburukan dan kelemahannya kepada kita ? Bukankah kelemahan dan aib sendiri lebih banyak untuk diselidiki. Permintaan sebegitu hanya memakan diri, dan kalau pun Allah membuka aibnya di depan mata kita, apa faedahnya? Apa yang kita akan dapat ? Melainkan kita akan terus berburuk sangka dan menganggap ‘aku lebih baik dari dia, dia tidak layak untukku kerana keburukan dan kejelikan – kejelikannya’


Ya Salam… Menganggap orang lain buruk dan kita sahaja yang baik sebenarnya merupakan perangai setan. Oh, bunyinya mungkin agak kasar. Renungkan firman Allah :


“ (Allah) berfirman ‘Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak
bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik
daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari
tanah.” ( Al A’raf : 12)


Bahaya kan virus “ Aku lebih baik dari dia ” ? kerana disitu ada bibit – bibit riyak dan takabbur, sifat makhluq penentang Tuhan. Cukuplah kita memohon, ‘andai dia bukan untuk ku, berilah petunjuk Mu ’. Cukup sekadar itu. Mungkin ‘petunjuk’ Nya adalah sukarnya urusan, ataupun calon tersebut tidak dipersetujui oleh ibu bapa kita kerana beberapa faktor lain dan sebagainya. Bukannya meminta agar disingkap segala aib – aibnya. Macamlah kita tidak punya aib…


Allah akan memberikan yang terbaik kepada kita. Itu benar. Seandainya seseorang itu bukan ditaqdirkan untuk kita, maka dia bukannya yang terbaik untuk kita dalam konteks ‘kesesuaian’ dan ‘keserasian’. Kesesuaian dan keserasian itu pula akan berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain. Misalnya, Jika dia orang yang beragama, boleh jadi dia bukannya orang yang serasi dan sesuai dengan kita dari sudut fikrah , mungkin tidak sesuai dengan kerjayanya, mungkin cita – cita tidak sama, mungkin, mungkin…. Pelbagai kemungkinan.

Hanya Allah yang tahu.


Apa yang jelas ingin dikatakan disini, jika dia bukannya yang terbaik untuk kita, bukannya bermakna dia orang yang tidak baik atau pun kita lebih baik dari dia. Ukurlah dengan neraca agama. Si dia yang Allah pilih untuk kita adalah orang yang paling serasi dan terbaik untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui keadaan dan diri seseorang. Apa yang bukan menjadi pilihan maka janganlah disertakan dengan kebencian, atau pun buruk sangka yang bukan – bukan, kerana sebenarnya apa yang diinginkan dari hidup ini adalah redha Tuhan.

Hakikatnya, pilihan dalam kehidupan akan terus berlaku sehingga hari kiamat. Selagi mana jantung berdenyut, haq dan batil akan terus berlawan. Minta dipilih menjadi teman. Maka di situ pastikan neraca taqwa memainkan peranan. Bagaimanana cermin pandang kita kepada pilihan – pilihan tersebut. Ada individu yang menangisi kematian As Syahid Syeikh Ahmad Yasin, Bapa Intifadha Palestin yang dibunuh dengan kejam di atas kerusi roda. Ada juga yang “memilih” untuk menangis tersedu sedan ketika Mawi tersingkir dalam pusingan Akademi Fantasia sia - sia. Menangis adalah suatu perkara yang biasa, cuma apa dan kenapa yang membuatkan kita “ memilih” untuk menangis, berbalik kepada ‘neraca’ apa yang kita guna, agar air mata kita yang tumpah tidak sia – sia disisi agama.


Dan akhirnya, di akhir perjalanan hidup kita, Pilihannya cuma dua. Tidak ada yang ketiga.


SYURGA atau NERAKA.

It’s your choice.


أم البركه

Read more...

ulama ajilla'

Wednesday, May 19, 2010

Bismillah…

Sudah lama blog tertinggalkan. Saya masih menulis, cuma momentum untuk menulis secara istiqamah diblog masih dalam proses. Saya masih belajar dan berusaha. Insyaallah..


Sebenarnya sedih di hati masih bersisa. Satu demi satu berita membuatkan kesedihan seperti bertimpa – timpa. Bermula dengan kewafatan Habib Abdul Qadir As segaf, Selang lebih kurang 40 hari, kotak sms saya dikejutkan dengan berita kewafatan Habib Ali bin Ja’far Al – Aydrus ( Batu Pahat ). Kemudian disusuli pula dengan berita kewafatan Habib Hussein bin Salim bin Hafidz ( bapa saudara Habib Umar ). Tidak lama selepas itu, khabar sedih menyelubungi lagi dengan kewafatan Habib Hussein Al Junied yakni penjaga makam Habib Nuh dan baru sebentar tadi jam 3.12 pm ( Rabu ) saya dihubungi Cintamuhammad, Hubaba Aisya yakni ibunda kepada Habib Hussein Al Attas pula telah kembali ke rahmatullah.. Allahu Allah… Semoga Allah meredhai mereka dan kita semua.



Hati saya berdetik juga ‘ Ya Allah… ramainya ulama ahlul bayt yang pergi akhir – akhir ini...’ Mereka pergi atas pilihan Allah dan kita yang masih disini , masih di atas muka bumi ini juga atas pilihan Nya. Moga – moga kita tidak sesat melangkah dan sentiasa terpandu di atas jalanNya yang lurus. Amin..


Perginya seorang demi seorang ulama ahlul bayt mengingatkan saya pada satu hadith Baginda Rasul :

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah solallah alaihi wasallam bersabda : ‘Bahawasanya Allah Swt tidak mencabut( menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang – orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain’ ( Hadith Riwayat Muslim )

Ya Rabbi…Perginya para ulama ajilla’ bemakna bumi menjadi tandus dengan keilmuan mereka, kezuhudan mereka, qudwah mereka, fatwa – fatwa mereka, doa – doa mereka, nafahat dan barakat mereka dan segala sirr mereka yang terlalu banyak dan sukar diungkap. Kehilangan seorang sahaja daripada mereka, terlalu sukar dicari ganti. Merekalah Pewaris Para Nabi yang tidak mewariskan dinar wala dirham tapi mereka itulah yang mewariskan ilmu, dan barangsiapa yang mengambil mutiara ilmu tersebut dari mereka, maka dialah yang telah mengambil habuan yang banyak dan sempurna. Begitu mafhum dari sebuah hadith.


Sesungguhnya kematian para ulama itu merupakan satu petanda dari petanda kiamat hampir tiba. Sudah terlalu banyak peristiwa yang berlaku akhir – akhir ini menunjukkan dunia semakin tua dengan perilaku manusia yang tidak takut berbuat dosa. Sungguh menakutkan andai dunia ini hanya dihuni oleh orang yang jahil – jahil.

Astaghfirullah… selamatkanlah kami Ya Allah…



al hagirah,
ummul barakah

Read more...

Selamat menemui kekasih Ya Habib...

Wednesday, April 7, 2010

Habib Abdul Qadir bin Ahmad As seggaf

Sungguh Dunia Islam telah kehilangan permata yang begitu besar. Beliau -Pewaris para Nabi, kekasih para aulia' ... Muhaddith juga Murobbi ummah.

Wangi - wangian dari tanah Hadramaut.

Semoga Allah mengasihi beliau dan mengampuni beliau serta memberkahi kita dengan keberadaan beliau di dunia mahupun Akhirat.. Amen.

Selamat menemui kekasih Ya Habib..

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un...

Al - Fatihah.


Read more...

Diari sayyidul ayyam : Bersama Syaikh murabbi Dr.Yusri Al hasani

Thursday, February 25, 2010


Alhamdulillah…



Segala puji bagi Allah yang mencipta langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya.



Berita kedatangan Syaikh Murabbi Dr. Yusri Al Hasani ke Malaysia sememangnya sebuah khabar gembira buat penuntut ilmu dan mereka yang mengasihi para ulama’, Insya Allah.



Beliau yg dimaksudkan merupakan ahlul bayt Rasulullah (solallahu alaihi wasallam) dari keturunan Saidina Hasan bin Ali. Beliau juga adalah teman sepengajian Syaikh Dr. Ali Jumuah
( Mufti Mesir) dan merupakan anak murid kepada Syaikh Abdullah Muhammad Siddiq Al Ghumari Al Hasani.



Menurut sumber ( Blog:Dari Anjung Al Atrak )Ini adalah kali pertama beliau ke Malaysia dalam rangka Jaulah ilmiyyah dan beliau tidak pernah keluar dari negeri Mesir selain dari mengerjakan ibadah umrah dan haji, serta keluar negara ketika berlaku peperangan di Pakistan dan beliau ditugaskan ke sana sebagai Doktor Bedah bantuan selama 2 bulan di sana.




Jadi teruja bilamana mengetahui kedatangan beliau dan zaujah ( Syaikhah Zainab) di Malaysia buat kali pertamanya ini adalah ke negeri kelahiranku.



Pernah terdetik di hati sebenarnya keinginan untuk bertemu dengan beliau dalam sebuah majlis ilmu dan mengambil manfaat dari beliau, walaupun diri yang hina ini mungkin tidak akan memahami kalam Syaikh murabbi 100 % - dek kefasihan bahasa arab dan ketinggian ilmunya,10 % pun belum tentu... :) . Namun, siapa yang menyangkal kelebihan jilsah bersama para ulama’? Siapa yang mengingkari kelebihan ahlul bayt Rasulullah ? Berada bersama- sama di dalam majlis ilmu yang dinaungi para malaikat adalah anugerah dari Allah, yang akan mengundang rahmat dan anugerah-anugerah lainnya pula.



Banyak hadith-hadith dari Junjungan mulia solallah alaihi wasallam mengenai kelebihan ilmu dan para ulama. Diantaranya, mafhum hadith, Rasulullah ( solallahu alaihi wasallam) mengiktiraf para ulama sebagai pewaris para Nabi dan dalam hadith yang lain Baginda menggambarkan mereka sebagai bintang – bintang yang memberikan petunjuk di gelap malam. Rasulullah Al – Mukhtar juga mendoakan mereka - ‘Allahumarham Khulafaie’. Bila sahabat bertanya, siapakah khalifah-khalifahmu ? Jawab Baginda, mereka itulah yang datang setelahku yang mengajarkan hadith-hadithku kepada manusia. MasyaAllah, lihatlah darjat para ulama di sisi Baginda Nabi ( solallahu alaihi wasallam)



Pertemuan dengan beliau di PAKSI Alor Setar dirasakan sebagai hadiah yang begitu bermakna sempena bulan Maulid Junjungan Nabi kita Muhammad ( solallah alaihi wasallam). Wajah beliau yang tenang, merupakan terapi kepada hati yang berkeluh kesah. Tazkirah beliau banyak menyentuh tentang keistimewaan Rasulullah ( solallahu alaihi wasalam) dan sedikit sebanyak menyentuh tentang isi kitab 40 Hadith keistimewaan Rasulullah, karangan guru beliau sendiri, iaitu Syaikh Abdullah Muhammad Siddiq Al Ghumari. Syaikh Yusri Al Hasani seterusnya menghuraikan tentang sifat tawakal Rasulullah ( solallah alaihi wasallam), sedikit tentang tafwidh dan juga bagaimana seharusnya seseorang ber i’timad kepada Allah.



Sempat terkesima sorang-sorang, bilamana ada persoalan yang tersimpan di benak saya terjawab oleh beliau dalam tazkirah tersebut .Subhanallah. :) Majlis diakhiri dengan pengijazahan kitab 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah, bacaan qasidah dan bacaan doa oleh Syaikh Yusri Al Hasani sendiri.



Sebagai anak Kedah, Secara peribadinya saya menyokong segala usaha memakmurkan bumi Kedah dengan majlis ta’lim dan tarbiyyah oleh para masyaikh kita dan para ulama ahlul bayt. Mudah – mudahan kehadiran mereka dijadikan program berkala sama ada tahunan atau lebih baiknya program bulanan seperti di kawasan KL dan Selangor. Insya Allah moga – moga keberadaan dan doa mereka di tempat kita menyuburkan rahmat dan redha Allah.



Dari Abi Said Al Khudri r.a, Rasulullah ( solallahu alaihi wasallam) sendiri pernah bersabda: Perumpamaan Ahlul Baitku di kalangan kamu adalah seperti Bahtera Nuh. Barangsiapa yang menaikinya ia akan selamat dan barangsiapa yang tertingggal ia akan tenggelam, Didalam riwayat lain “akan binasa” dan ada riwayat lain yang menyebut “akan tergelincir kedalam neraka”.



Allahumma Solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala aalihi fi kulli lamhatin wa nafasin ‘adada ma wasi’ahu ilmullah.



Salam Maulidur Rasul


Al Haqeerah Ummul Barakah.

Read more...

permata syeikh ibnu atho'illah

Wednesday, January 27, 2010



Bismillah…
Alhamdulillah ala kulli hal, Segala puji dan tahmid selayaknya dan selama – lamanya hanya kepada Allah, Tuhan semesta alam.


Rasanya ini posting pertama pada tahun 2010. Saya seperti kehilangan momentum untuk menulis, lebih kepada mood untuk membaca. Insya Allah, semangat hijrah Rasulullah (solallah alaihi wasallam) moga terus menjadi pemangkin dalam diri , menjadi obor menyalakan perubahan kearah kebaikan dan seterusnya menatijahkan amal soleh. Mudah – mudahan dibantu Allah dalam setiap urusan..

Seorang hamba itu haruslah terus berjalan menuju TuhanNya. Menyerahkan seluruh urusannya untuk ditadbir oleh Allah disamping tidak meninggalkan usahanya sebagai makhluk kerna sesungguhnya semua, segalanya dan seluruhnya akan kembali pada Allah jua.

Janganlah pula meninggalkan doa kerana bukankah doa itu adalah senjata para mukmin. Teruslah memohon dan merayu pada Nya dengan tidak meninggalkan adab sebagai seorang hamba. Saya menyelak kitab Hikam. Mencari – cari penawar dan hikmah daripada Syeikh Ibnu Atho’illah dan.. berkali – kali juga mata mengulang baca kalam nasihat penuh hikmah Ibnu Atho’illah :


" Janganlah kelambatan pemberian Tuhan kepadamu padahal engkau
bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkanmu patah harapan, kerana Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia ( Allah) kehendaki untukmu , bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang Dia tentukan, bukannya pada waktu yg engkau tentukan "


Subhanallah. Sesungguhnya Syeikh Ibnu Atho’illah sedang mengajarkan adab kepada kita. Hamba itu sifatnya menyerah dan menerima segala pemberian Tuannya tanpa sewenangnya menyangkal itu dan ini. Bukankah pelik seseorang menyangkal sesuatu yang dia sendiri tidak tahu ?


Usah mendakwa ‘aku lebih tahu tentang diriku’ jika kita sendiri sebenarnya belum pasti berapakah agaknya bilangan tulang- temulang yang membungkus tubuh kita ? Bagaimana dan berapakah agaknya sel- sel otak yang bercabang di membran kita? Bagaimana pula dengan bilangan helaian rambut dan lainnya yang terlalu sukar kita ungkapkan jawapannya ?



Rupanya kita sendiri tidak tahu tentang diri kita sendiri kerna yang lebih mengetahui tentang diri kita HANYALAH ALLAH. Yang terlebih – lebih mengetahui urusan yang baik dan buruk untuk kita - justeru juga hanya DIA. HUWA ALLAH.




Allah menjadikan manusia tidak sempurna supaya kesempurnaan dan kemuliaan itu adalah milik Nya semata … dan menyedarkan manusia bahawa sesungguhnya kita yg bergelar makhluk amat dan terlalu memerlukan ALLAH.



Saya teringat pada sebuah puisi yang terdapat di dalam buku karangan Hubabah Halimah al Aydrus. Puisi yang mengajarkan cinta kepada Allah. Sungguh hebat luahan cinta orang – orang yang dekat dengan Allah sehingga generasi selepas mereka bisa belajar dan mengambil istifadah dari mutiara- mutiara penulisan mereka.



Katakanlah !

Adakah yang lebih hebat daripada NYA ?

Siapakah yang dapat memberikanmu kebahagiaan

Walaupun hanya sesaat ?

Siapa yang dapat mengaruniai mu kesenangan

Meskipun hanya sekejap ?

Sungguh….

Bukan kebahagiaan dan kesenangan yang kucari

YANG KU INGINKAN DARIMU
ADALAH ENGKAU SENDIRI

ROBBI…

(Rumi)


Hajatkan doa dari semua,
ummul barakah

Read more...

wahai,

Friday, December 4, 2009


Wahai…


Menemukanmu adalah semburat fajar


Kala pekat malam kukira takkan usai



Wahai…


Mendapatimu adalah guyuran hujan


Kala kebun jiwa kurasa mengering perlahan



Maka, Wahai…


Kumohon jangan berpaling


Sebab kupinta engkau jadi cahaya


Hingga tak sesat aku mengeja langkah


Tuk selusuri jalan gelap menuju – Nya


Atau kuharap engkau membentang sayap


Mengantar aku ke puncak Surga


Kala ruhku merindu Sang Pencipta



( Hubabah Halimah Al Alaydrus , Bidadari Bumi, 2009 )



Dan puisi indah ini, saya dedikasikan buat ,


Para Habaib, Para Tuan guru, Para Muallim/ah dan insan- insan yang selalu menunjukkan jalan kepada cahaya Allah – yang selalu mengajak manusia kepada kedekatan dengan Yang Esa, yang selalu menterjemahkan syariat-Nya menjadi qudwah hasanah, yang selalu membimbing dengan penuh sabar dan hikmah, juga yang selalu…



Mengucapkan cinta pada jalan Para nabi dan mendidikku mencintai Nabi..



Semoga Allah meredhai kalian dan meredhai kami - dengan keberkahan kalian… Ameen…



Ummul barakah,


Bumi Ujian.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

Keep in ukhuwwah

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP