Hamba Pencipta.

Friday, January 14, 2011


Sahabat..

Pernahkah kau ketemu?

Hamba yang tak keruh hatinya kerna dunia

Di saat manusia gila menimbun harta

Dia malah menjentiknya begitu saja



Pernahkah kau bersua?

Ada di kalangan hamba-Nya

Yang memandang emas dan tembaga tak ada bezanya

Matanya tak terpaut pada kilau istana dunia

Kerna jiwanya sudah tergoda pada mahligai di Syurga



Pernahkah kau bertemu sahabat..?

Di waktu manusia mengejar dunia,dunia dan dunia

Dia pula sedang asyik tenggelam dalam samudera cinta

Merindukan pertemuan agung dengan Pencipta



Pernahkah kau bertemu..?



Mereka itulah aduhai sahabatku..

Hamba-hamba yang memandang dunia dengan jendela akhirat

Pandangannya menembus ke awan bahkan galaksi

Terkadang pakaiannya berdebu tak berganti

Dek menanti persalinan sutera kekal abadi

Walau jasadnya berlabuh di alam dunia

Ruhnya terbang bebas

Nun ke sana...

Menuju Pencipta.



Diadaptasi daripada puisi Hubabah Halimah Al Aydrus.

14 Jan 2011/ 9 Safar 1432H

Sayyidul Ayyam (Sollu 'ala Habib)

Al Haqeerah Ummul Barakah

Read more...

Manifestasi Hijrah

Tuesday, December 7, 2010


Bismillah..

Salam Maal Hijrah!

Berada di awal-awal Muharam terasa menyegarkan. Selalunya, apabila melangkah ke tahun baru, kita akan terkenang kembali peristiwa hijrah Rasulullah solallah alaihi wasallam dan para sahabat radhiyallahu anhum dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Sungguh hijrah Rasul dan para sahabat bukanlah sekadar hijrah jasadiah (fizikal) akan tetapi hijrah yang disertai dengan ruh keyakinan kepada Allah, hijrah untuk memantapkan aqidah dan tauhid saat dakwah Rasulullah ditentang hebat oleh musyrikin Makkah, hijrah demi kelangsungan penghayatan agama yang mana disambut baik oleh penduduk Kota Madinah.

Betapa hijrah Rasulullah dan para sahabat merupakan sebuah manifestasi agung meninggikan syiar agama Allah!

Rasulullah solallah alaihi wasallam berhijrah kerana taatkan perintah Allah dan mengharapkan redha-Nya. Maka, bagaimana pula dengan kita.. penghayatan kita kepada makna hijrah. Sudah berhijrahkah kita? Hijrah minda dan keyakinan, hijrah sikap dan akhlaq, hijrah identiti dan peribadi agar semuanya berada di dalam bingkai yang diredhai Ilahi.

Di awal-awal Muharam ini, hendaknya menjadi ruang-ruang muhasabah diri.
Mudah-mudahan kita berhijrah.. daripada menjadi hamba yang mencari selain dari-Nya dalam kehidupan dunia yang singkat ini, kepada hamba yang hakiki, yang mana hanya mencari Allah di dalam kehidupannya.

Manifestasi Hijrah: Menjadi hamba yang 'lebih' sujud

Usah takut dan gentar untuk memulakan langkah hijrah. Usah ragu dan risau akan duri-duri yang mungkin menyucuk apabila berada di atas jalan yang lurus.

Terkenang peristiwa bilamana Rasulullah solallah alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar radhiyallahu anhu berada di dalam gua Thur.

Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a ketakutan dan cemas bimbangkan Baginda diapa-apakan oleh musyrikin Makkah. Apa kata Rasulullah Al-Amin?

Baginda menuturkan “Janganlah engkau merasa risau dan sedih. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.”

InsyaAllah..saudaraku yakinlah Allah bersama kita.

Salam tahun baru 1432H. Moga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lalu.



1 Muharam 1432H
Al Haqeerah,
Ummulbarakah.

Read more...

Maahad Darul Hadith: Mengkader generasi muhaddith!

Friday, November 26, 2010


Penubuhan Maahad Darul Hadith telah diilhamkan oleh Al Marhum Ustaz Hj. Suhaimi b.Hj Ahmad Al-Aydrus, pengasas kelas pengajian hadith PAKSI sejak dari tahun 1993. Buat julung kalinya, lembaga tadbir Maahad Darul Hadith membuka peluang kepada para pencinta ilmu untuk mengikuti pengajian di Darul Hadith yang diuruskan oleh Yayasan PAKSI secara sepenuh masa dengan system talaqqi dan hafalan ilmu-ilmu asas dirasat islamiyyah wal arabiah dan seterusnya mengikuti pengajian dauratul hadith yang akan dibimbing oleh barisan guru-guru yang mursyid dan mempunyai kepakaran dalam sistem pengajian turath dan bersanad.



Almarhum Ustazuna,Ust.Hj Suhami b.Hj Ahmad Al Aydrus

Perasmian tapak kompleks Darul Hadith telah disempurnakan oleh Syeikhuna, Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki pada 8 September 2006 dan majlis pelancaran Maahad Darul Hadith pula telah disempurnakan oleh Al-Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Ibrahim Abdul Baith Al Husaini Al Kattani bersama Al Fadhil Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki pada 15 Oktober 2010 (Jumaat) baru-baru ini.

Penasihat Kehormat Maahad Darul Hadith, Yayasan PAKSI


Objektif penubuhan Maahad Darul Hadith:

-Melahirkan pelapis ulama’ yang belajar, mengembangkan dan menyebar luaskan hadith dan ilmu hadith dan berusaha untuk melahirkan golongan Muhaddith.
- Memberi ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat setempat dan ummah
- Berusaha memelihara system pengajian turath
- Membuka peluang dan ruang kepada orang ramai untuk sama-sama membuat kebajikan dan amal jariah.

Bidang Pengajian Maahad Darul Hadith merangkumi Dirasat Islamiah dan Ulumul hadith dengan dua kaedah pengajian:

- PROGRAM MUNTAZIM (JANGKA PANJANG)

Kelas pengajian dauratul hadith (tetap) mengambil masa selama 3-6 tahun dengan memastikan pelajar mengikuti dan menghabiskan kitab-kitab yang ditetapkan. Pelajar akan melanjutkan pengajian ke Timur tengah.


- PROGRAM MUNTASIB (JANGKA PENDEK)

- Menjalankan kuliah tetap mingguan pada setiap hari Jumaat dan cuti sekolah
Program tafaqquh bagi memahami serta menerima sanad beberapa buah kitab hadith muktabar dalam jangka masa yang ditetapkan
-Program remaja- Memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada remaja

Syarat Kemasukan:

Berumur 13 Tahun ke atas
Menguasai bacaan Al-Quran dan teks arab
Mempunyai asas B.Arab (Nahu/ Sorof)
Menguasai penulisan melayu dan Arab
Berminat menghafaz Al-Quran dan hadith
Mampu mengikuti sepenuhnya pengajian

Yayasan PAKSI membuka peluang kepada masyarakat untuk merebut peluang beramal jariah, menyumbang zakat untuk pembinaan, penyiapan prasarana disamping menampung perbelanjaan bulanan yang dianggarkan melebihi RM 20,000

Sementara kompleks Maahad Darul Hadith siap sepenuhnya, kelas akan dijalankan di Masjid Akar Peluru, Jalan Pegawai Alor Setar.


Sebarangan sumbangan boleh disalurkan kepada:

PUSAT PENGAJIAN DARUL HADITH
Akaun BIMB atas nama Yayasan PAKSI
No. 02011010098651 (BIMB Cawangan Alor Setar)

Sila hubungi untuk keterangan lanjut:
017-5039399 (Cikgu Sukarno)
019-5430269 (Ustaz Zainul Asri)
017-4709002 (Setiausaha)

Akan hadir dari ummat ini,
Generasi muhaddith ulama rabbani,
Penyambung kalam pewaris Nabi,
Pejuang tauhid, aqidah yang murni,
Ingin jadi seperti Imam Bukhari
Imam Muslim juga Tirmizi,
Tak lupa yang sentiasa di hati,
Imam Abu Daud juga Nasaie,
Hadith-hadith Nabi tersemat di nubari,
Akan hadir dari ummat ini,
Pencinta Allah dan juga Rasulullah,
Diam dan geraknya ittiba’ sunnah,
Dialah qudwah pengislah ummah,
Yang mengalir dalam jiwanya hadith-hadith Rasulullah!
Akan hadir dari ummat ini!

-Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Hj Suhaimi b Hj Ahmad Al Aydrus-

ummulbarakah

Read more...

SAMUDERA BAHAGIA

Tuesday, November 2, 2010


Hari itu, seorang gadis bertanya pada gurunya

“Wahai guruku...bahagia itu apa menurutmu?”

“Adakah seronok itu tandanya bahagia, sedang duka itu tandanya sengsara?” Gadis itu bertanya lagi.

Gurunya lantas menjawab.

“Ya Binti....tanyalah pada hatimu...”

Gadis itu lebih penasaran.

“ Bahagia itu ada pada hati yang lapang wahai anakku” Guru itu meneruskan bicara.

“Hati yang lapang itu pula umpama air lautan yang luas, sedang hati yang sempit umpama air di dalam segelas balang”

“Cuba direnungkan nak...”

“Andai setitis najis dimasukkan ke dalam segelas balang yang menakung air itu, apa akan terjadi?” Giliran guru itu bertanya.

“Oh, pastinya air di dalam balang itu juga akan bertukar menjadi najis” Jawab gadis itu.

“Nah anakku...benar katamu, sedang setitis najis tadi tidak akan sedikit pun mempengaruhi air samudera lautan yang luas”

“ Anakanda…begitulah bahagia yang kau cari. Bahagia itu ada pada hati yang luas. Sedikit masalah tidak akan membuat hatimu jadi gundah ..Sedang hati yang sempit tempat menyimpan penyakit. Secebis masalah yang menimpanya sudah cukup membuatkan fikirannya terbeban. Jiwa dan akalnya bisa jadi tak keruan.”

“Lapangkan hatimu ya binti...nescaya disana akan kau temui bahagia”

Gadis itu mengangguk–angguk. Matanya bercahaya.

“ Apabila hati menjadi lapang, suka dan duka tetap akan membahagiakanmu kerna kedua-dua itu datangnya dari Tuhan-Mu”

Guru itu akhirnya merangkul bahu anak muridnya dan berkata.

“ Anakku.. Masukkan yang besar-besar di dalam hatimu supaya ia bisa luas dan lapang”

“ Apakah yang besar itu wahai guruku yang mulia?”

Guru itu tersenyum sambil menjawab:

“MASUKKAN ALLAH KE DALAM HATIMU.”

Dedikasi buat Guru cinta kami, Hubabah Halimah Al-Aydrus

musim-musim banjir,
Alhaqeerah,
Ummulbarakah.

Read more...

rumah cinta

Monday, November 1, 2010


Teman,
Kuingin kongsikan denganmu sebuah hadith yang pernah kubaca, yakni hadith riwayat Ibnu Majah dari Saidatina Aisyah (radhiyallahu anha)

Di dalam hadith itu, telah kutemui khazanah-khazanah berharga.

Kutemui…adab berdoa yang diajarkan rasul kepada kita, umatnya yang dikasihi.
Kutemui…kemustajaban doa itu perlu disertai dengan menyebut nama-namaNya yang agung (ismul a’zom)
Kutemui… sabarnya seorang suami mulia dalam meladeni belahan jiwanya, Sayyidatina Humaira’..
Kutemui pula... bijaksananya ummul mukminin kecintaan kita memuliakan imamnya dalam bicara dan tindakan. Bersungguh-sungguhnya Sayyidatina Aisyah menuntut ilmu dan mengejar hasanah demi redha Allah.

Begini ditintakan hadithnya:

Rasulullah (solallah alaihi wasallam) bersabda:

“Wahai Aisyah, adakah kamu tahu, sesungguhnya Allah telah menunjukkan kepadaku sebuah nama yang bila disebut dalam doa pasti doa itu diperkenankan?”

Aisyah menjawab:” Demi ayah dan ibuku, wahai Rasulullah tolong ajarkan kepadaku..”

Nabi solallah alaihi wasallam bersabda: “ Perkara itu belum layak untukmu wahai Aisyah..”

Aisyah Berkata: Maka aku pun menjauhi dan duduk beberapa ketika.

Kemudian aku bangkit dan kucium kepala beliau, lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah…tolong ajarkan kepadaku…”

Beliau kembali menjawab: “Perkara itu belum layak untukmu. Belum saatnya aku mengajarkannya kepadamu wahai Aisyah, kerna nama itu tidak layak kamu gunakan untuk meminta perkara duniawi”

Aisyah berkata: Maka aku pun bangkit dan mengambil wudhu, lalu aku solat dua rakaat. Setelah itu, aku berucap, “ Ya Allah, aku menyeru-Mu dengan nama Allah, menyeru-Mu dengan nama Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih), menyeru-Mu dengan nama Al-Barr Ar-Rahim (Yang Maha Dermawan, Yang Maha Penyayang) Aku juga menyeru-Mu dengan semua nama-nama-Mu yang baik yang ku ketahui dan yang tidak ku ketahui, agar engkau mengampuniku dan merahmatiku...”

Aisyah berkata: Maka Rasulullah solallah alaihi wasallam tersenyum dan bersabda:

“Sesungguhnya nama itu ada dalam nama-nama yang kamu ucapkan tadi.”

(HR Ibnu Majah dari Saidatina Aishah (radhiyallahu anha)

Subhanallah walhamdulillah. Indahnya akhlaq dan rumah cinta Rasulullah (solalallah alaihi wasallam).Usai membaca hadith ini. Saya juga tersenyum seperti anda.
Teman, Selamat berdoa.

Lailahaillallah - Muhammad Rasulullah,
Ummulbarakah.

Read more...

hanya jauhari mengenal manikam

Thursday, September 30, 2010


Detik demi detik, saat berganti saat. Umur semakin beranjak, bergulir bersama waktu. Hari dirasakan sungguh pantas berlalu. Sedangkan banyak juga lompong-lompong masa yang tidak terisi sebaik-baiknya. Masih ada, saat-saat dan hela nafas yang diisi dengan bermain-main dan lalai leka. Banyaknya detik waktu yang pergi meninggalkan… dan mustahil dijemput kembali. Modal umur kurniaan Pencipta ini, apakah nanti akan menjadi saksi yang menggembirakan diri atau justeru mencelakakan?

Waktu yang bersilih ganti, menandakan diri-diri yang menghuni dunia semakin dekat dengan janji Ilahi. Hakikatnya sekarang kita sedang bermusafir dan permusafiran di alam dunia ini sudah pun ditempuh dalam sekian–sekian jarak (umur), bukankah itu bermakna destinasi akhir semakin dekat menghampiri? Dan pastinya destinasi akhir itu adalah negeri akhirat yang kekal abadi.

Anak-anak dunia VS anak-anak akhirat

Barangsiapa yang thabat di hatinya keyakinan pada akhirat, betapa negeri akhirat itu lebih baik dan kekal, maka hiduplah dia seperti ‘anak-anak akhirat’, yang mana memakmurkan dunia dengan cita-cita akhirat, akan tetapi barangsiapa yang rakus menghirup keseronokan dunia dan merasa akhirat hanyalah sebuah cerita rekaan, (na’uzubillah) maka jadilah dia ‘anak-anak dunia’ yang menjadikan hidup di dunia sementara ini sebagai matlamat dan tujuan akhir kehidupannya. Sungguh rugilah mereka. Mereka itulah yang berada dalam siksaan dan kesesatan yang jauh. Begitu firman Allah Yang Maha Agung di dalam surah Saba’ ayat 8.

Dan temanku, adapun orang-orang yang bertaqwa, mereka meyakini dengan sesungguhnya bahawa negeri akhirat itu adalah tempat kembali yang kekal dan lebih baik berbanding dunia sementara. Wal akhiratu khairun limanittaqa (An-Nisa:77),

Merekalah seumpama jauhari yang mengenal manikam. Hanya tukang batu permata yang dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Hanya tukang emas yang dapat menilai emas manakah yang asli dan palsu,ia berbeza walaupun kilaunya mungkin tampak serupa. Hanya para solihin dan para muttaqinlah yang lebih mendamba kenikmatan kehidupan akhirat, berbanding nikmat dunia yang terlalu sedikit itu. Fahamilah wahai diri.

Seorang murabbi pernah memberikan tamsilan yang cukup simple, saya mengakui kadang-kala tamsilan yang simple begitu ada kalanya lekat di hati… mudah mudahan.. InsyaAllah.. begini ni…
cuba kita bayangkan, kita keluar dari rumah untuk ke suatu tempat. Mungkin tempat itu adalah pasar, shopping complex, kedai runcit, sekolah, pejabat, hospital atau kuliah ilmu. Mahukah kita berlama-lama di tempat tadi? Dalam erti kata lain inginkah kita terus bermukim, berehat, berlama-lama dan tidur ditempat itu? Walau tempatnya secanggih shopping complex, pasti yang bermain di fikiran “Aku sekadar singgah untuk menyelesaikan beberapa urusan dan selepas selesai, aku nak balik rumah”. Rumah dibayangkan sebagai tempat perlindungan yang selesa. Ada isteri, suami, anak-anak, ada tv, ada katil, ada air cond, ada makanan, ada jus, ada.....ada....ada...... pendek katanya segala keperluan kita tersedia lengkap di rumah.

Nah, begitulah perumpamaan mereka yang merasakan alam dunia ini hanyalah tempat bermusafir sebentar cuma. Dunia ini hanyalah check point persinggahan. Mereka tak ingin berlama-lama kerana di dunia ini bukannya tempat berehat, bersenang-senang dan tempat tidur yang sebenarnya. Mereka rindu kepada ‘mahligai’ yang kekal di negeri abadi sana dan terlalu ingin untuk melihat segala bentuk ‘perhiasan’ dan kenikmatan di mahligai tersebut dari pahala solat, pahala puasa, pahala qiyamulail, pahala sedekah, pahala zakat, pahala jihad, pahala zikir, pahala selawat, pahala membaca al-quran, pahala cinta (pada yang haq), pahala sabar dan sebagainya. Bagaimana ya rupanya? Mereka terlalu rindu kepada negeri akhirat dan tergiur dengan kenikmatan syurga.Syurga yang mana kenikmatannya tidak pernah dilihat oleh mata. tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati.

Termaktub di dalam firman-Nya:
“ Di antara kamu, ada yang mengkehendaki dunia dan diantara kamu ada (pula) yang mengkehendaki akhirat…” (Ali Imran: 152)

Bagaimana wahai diri? Bagaimana dengan kita?


Fahamilah hanya jauhari yang mengenal manikam.


Doakan untuk saya... wahai para jauhari, agar seperti kalian yang bisa mengenal manikam. Jazakumullah kher...


Al-haqerah cuma,
ummulbarakah

Read more...

ramadhan: Antara rindu & pilu

Friday, August 6, 2010



Jendela Ramadhan kian tersingkap. Ramadhan seperti sedang tersenyum kepada kita. Tersenyum kepada hamba-hambaNya yang bergembira dengan kedatangan ramadhan. Seolah-olah Ramadhan berkata kepada mereka

"Ahlan..Ahlan! Selamat datang wahai hamba-hamba Allah. Sesungguhnya aku disediakan untuk kalian dengan pelbagai anugerah, ganjaran dan hadiah-hadiah istimewa. Perbanyakkan shopping lailatul qadar di sepuluh malam terakhir.
Semuanya memang untuk kalian. Ambil..ambil…rebut….rebuuutt..! sementara stok umur masih ada..!!”


Beruntunglah bagi kalian yang bergembira dengan kehadiran ramadhan, yang merasa seronok dan tidak sabar-sabar menanti bulan mulia……..


Hari itu saya menghadiri sebuah kuliah bersama Tok Mufti (negeri Kedah), Beliau mensyarahkan hadith berkenaan orang-orang yang bergembira dengan kehadiran Ramadhan. Terlalu hebat ganjaran yang Allah berikan. Hanya dengan sebab GEMBIRA. Itu belum lagi dikira amalan dan ibadah dalam bulan mulia itu. Allah Allah... Termenung juga saya dibuatnya. Termasukkah di dalam golongan mereka yang gembira dengan kehadiranmu wahai ramadhan..?

Tok Mufti mensyarahkan hadith Riwayat Thabrani akan 5 perkara yang dianugerahkan Allah kepada umat Nabi Muhammad solallah alaihi wasallam pada bulan ramadhan yang mulia, yang mana tidak diberikan hatta kepada Nabi-nabi sebelumnya.


Anugerah pertama, bahawasanya apabila seseorang berada di awal malam Ramadhan (dengan perasaan gembira) Allah akan memandang kepada hamba itu, dan barang siapa yang mendapat pandangan Allah, nescaya tidak akan diazab selama-lamanya, lam yu’azzibhu abadan, begitu bahasa hadis.


Anugerah Kedua, Sesungguhnya dalam bulan Ramadhan, para malaikat Allah akan beristighfar kepada mereka siang dan malam… Hebatnya ganjaran Ramadhan...kita didoakan oleh hamba Allah yang tidak pernah lalai dan sentiasa taat akan perintah-Nya.


Anugerah ketiga, Allah Yang Maha Agung memerintahkan kepada syurga, berhias-hiaslah kamu wahai syurga untuk hamba-hambaKu yang berpuasa! Hamba-hambaKu ingin berehat dari kepenatan dunia di Rumah kemuliaanKu (Syurga). Subhanallah..Maha Suci Allah…istimewanya layanan Allah kepada hamba-Nya yang berpuasa. Orang yang berpuasa umpama para VVIP yang telah pun di bookingkan tempat mereka di syurga!. Andai di dunia saja,kita merasa kembang hati apabila menerima layanan luar biasa dan tempat khas yang tidak boleh diusik oleh orang lain. Apatah lagi layanan istimewa ini datangnya dari Allah Azza wa jalla..Pencipta kita!. Sungguh Ya Allah, tidak ada destinasi yang lebih kami damba melainkan Syurga-MU.

Anugerah keempat, Bau mulut orang-orang yang berpuasa ketika waktu petangnya lebih wangi dari haruman miski…MasyaAllah Tabaarakallahu ahsanul kholiqin dan adapun anugerah yang kelima, apabila mereka berada di akhir malamnya (dari bulan ramadhan) ghafarallahu lahum jami’a ! Allah akan mengampuni seluruh dosa-dosa mereka…!
Amin Ya Rabb!


Oh, pastinya anugerah dan ganjaran Allah tidak terbatas hanya kepada lima perkara ini sahaja. Selaklah hadis-hadis Baginda yang banyak menceritakan fadhilat ramadhan.Terlalu luas rahmat dan ganjaran Allah pada bulan mulia ini kepada orang-orang yang berpuasa, kepada mata yang kuyu, badan yang lesu, perut yang berlagu…semua itu ada hitungannya disisi Allah.

Apatah lagi amalan-amalan tasbih dan tahmid, tadarus dan tadabur Al-Quran, tarawih dan witir, sedekah dan segala macam hasanah … Allah sajalah yang layak membalasnya kerana puasa itu adalah untuk-KU kata Allah, dan Allah sajalah yang layak memberikan ganjaranNya.



Oh Ramadhan…ada juga rasa takut dan pilu, apabila mengenangkan sebuah lagi hadis Baginda. Ingat lagi tak kisah ketika Rasulullah mengucapkan tiga kali “Amin” sebelum baginda naik ke mimbar. Rasulullah solallah alaihi wasallam menjelaskan bahawa Malaikat Jibril a.s hadir kepada baginda dan mengatakan “Barang siapa yang berada di dalam bulan Ramadhan, tapi tidak diampuni dosanya, maka ia akan masuk neraka dan ditinggalkan oleh Allah…” Itulah salah satu dari tiga kalimat yang diaminkan oleh lisan Baginda Rasul yang mulia. Nauzubillah…. Ditinggalkan Allah bermakna kesusahan, kehancuran,kecelakaan … ditinggalkan Allah bermakna neraka… ! Nauzubillah…


Diantara rindu dan pilu, mudah-mudahan Allah hadir di antara keduanya, membelai dengan rahmat dan kelembutan-Nya. Meluruskan taufiq dan inayah ke jalan-Nya. Agar Ramadhan tidak menjadi adat, tetapi seluruhnya adalah ibadat. Ya, ibadat yang diterima disisi Allah..

Ramadhan kita..adat atau ibadat

Jika masih belum rindu, kita berusaha. Andai masih berasa kurang gembira dengan kehadirannya, usahakan agar rasa gembira hadir pada ruang jiwa. Tidak salah jika sekali-sekala kita ucapkan dengan gembira. “Ramadhan... Aku rindu.....”

Salam Ramadhan,
ummul barakah

Read more...
Related Posts with Thumbnails

Keep in ukhuwwah

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP