Diari sayyidul ayyam : Bersama Syaikh murabbi Dr.Yusri Al hasani
Thursday, February 25, 2010
Alhamdulillah…
Segala puji bagi Allah yang mencipta langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya.
Berita kedatangan Syaikh Murabbi Dr. Yusri Al Hasani ke Malaysia sememangnya sebuah khabar gembira buat penuntut ilmu dan mereka yang mengasihi para ulama’, Insya Allah.
Beliau yg dimaksudkan merupakan ahlul bayt Rasulullah (solallahu alaihi wasallam) dari keturunan Saidina Hasan bin Ali. Beliau juga adalah teman sepengajian Syaikh Dr. Ali Jumuah
( Mufti Mesir) dan merupakan anak murid kepada Syaikh Abdullah Muhammad Siddiq Al Ghumari Al Hasani.
Menurut sumber ( Blog:Dari Anjung Al Atrak )Ini adalah kali pertama beliau ke Malaysia dalam rangka Jaulah ilmiyyah dan beliau tidak pernah keluar dari negeri Mesir selain dari mengerjakan ibadah umrah dan haji, serta keluar negara ketika berlaku peperangan di Pakistan dan beliau ditugaskan ke sana sebagai Doktor Bedah bantuan selama 2 bulan di sana.
Jadi teruja bilamana mengetahui kedatangan beliau dan zaujah ( Syaikhah Zainab) di Malaysia buat kali pertamanya ini adalah ke negeri kelahiranku.
Pernah terdetik di hati sebenarnya keinginan untuk bertemu dengan beliau dalam sebuah majlis ilmu dan mengambil manfaat dari beliau, walaupun diri yang hina ini mungkin tidak akan memahami kalam Syaikh murabbi 100 % - dek kefasihan bahasa arab dan ketinggian ilmunya,10 % pun belum tentu... :) . Namun, siapa yang menyangkal kelebihan jilsah bersama para ulama’? Siapa yang mengingkari kelebihan ahlul bayt Rasulullah ? Berada bersama- sama di dalam majlis ilmu yang dinaungi para malaikat adalah anugerah dari Allah, yang akan mengundang rahmat dan anugerah-anugerah lainnya pula.
Banyak hadith-hadith dari Junjungan mulia solallah alaihi wasallam mengenai kelebihan ilmu dan para ulama. Diantaranya, mafhum hadith, Rasulullah ( solallahu alaihi wasallam) mengiktiraf para ulama sebagai pewaris para Nabi dan dalam hadith yang lain Baginda menggambarkan mereka sebagai bintang – bintang yang memberikan petunjuk di gelap malam. Rasulullah Al – Mukhtar juga mendoakan mereka - ‘Allahumarham Khulafaie’. Bila sahabat bertanya, siapakah khalifah-khalifahmu ? Jawab Baginda, mereka itulah yang datang setelahku yang mengajarkan hadith-hadithku kepada manusia. MasyaAllah, lihatlah darjat para ulama di sisi Baginda Nabi ( solallahu alaihi wasallam)
Pertemuan dengan beliau di PAKSI Alor Setar dirasakan sebagai hadiah yang begitu bermakna sempena bulan Maulid Junjungan Nabi kita Muhammad ( solallah alaihi wasallam). Wajah beliau yang tenang, merupakan terapi kepada hati yang berkeluh kesah. Tazkirah beliau banyak menyentuh tentang keistimewaan Rasulullah ( solallahu alaihi wasalam) dan sedikit sebanyak menyentuh tentang isi kitab 40 Hadith keistimewaan Rasulullah, karangan guru beliau sendiri, iaitu Syaikh Abdullah Muhammad Siddiq Al Ghumari. Syaikh Yusri Al Hasani seterusnya menghuraikan tentang sifat tawakal Rasulullah ( solallah alaihi wasallam), sedikit tentang tafwidh dan juga bagaimana seharusnya seseorang ber i’timad kepada Allah.
Sempat terkesima sorang-sorang, bilamana ada persoalan yang tersimpan di benak saya terjawab oleh beliau dalam tazkirah tersebut .Subhanallah. :) Majlis diakhiri dengan pengijazahan kitab 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah, bacaan qasidah dan bacaan doa oleh Syaikh Yusri Al Hasani sendiri.
Sebagai anak Kedah, Secara peribadinya saya menyokong segala usaha memakmurkan bumi Kedah dengan majlis ta’lim dan tarbiyyah oleh para masyaikh kita dan para ulama ahlul bayt. Mudah – mudahan kehadiran mereka dijadikan program berkala sama ada tahunan atau lebih baiknya program bulanan seperti di kawasan KL dan Selangor. Insya Allah moga – moga keberadaan dan doa mereka di tempat kita menyuburkan rahmat dan redha Allah.
Dari Abi Said Al Khudri r.a, Rasulullah ( solallahu alaihi wasallam) sendiri pernah bersabda: Perumpamaan Ahlul Baitku di kalangan kamu adalah seperti Bahtera Nuh. Barangsiapa yang menaikinya ia akan selamat dan barangsiapa yang tertingggal ia akan tenggelam, Didalam riwayat lain “akan binasa” dan ada riwayat lain yang menyebut “akan tergelincir kedalam neraka”.
Allahumma Solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala aalihi fi kulli lamhatin wa nafasin ‘adada ma wasi’ahu ilmullah.
Salam Maulidur Rasul
Al Haqeerah Ummul Barakah.
1 comments:
Askum.
Ya Ukht Habibty,
Rindunya....
Terima kasih atas perkongsian ini. Semoga dapat kami hadirinya.
Post a Comment