Manifestasi Hijrah

Tuesday, December 7, 2010


Bismillah..

Salam Maal Hijrah!

Berada di awal-awal Muharam terasa menyegarkan. Selalunya, apabila melangkah ke tahun baru, kita akan terkenang kembali peristiwa hijrah Rasulullah solallah alaihi wasallam dan para sahabat radhiyallahu anhum dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Sungguh hijrah Rasul dan para sahabat bukanlah sekadar hijrah jasadiah (fizikal) akan tetapi hijrah yang disertai dengan ruh keyakinan kepada Allah, hijrah untuk memantapkan aqidah dan tauhid saat dakwah Rasulullah ditentang hebat oleh musyrikin Makkah, hijrah demi kelangsungan penghayatan agama yang mana disambut baik oleh penduduk Kota Madinah.

Betapa hijrah Rasulullah dan para sahabat merupakan sebuah manifestasi agung meninggikan syiar agama Allah!

Rasulullah solallah alaihi wasallam berhijrah kerana taatkan perintah Allah dan mengharapkan redha-Nya. Maka, bagaimana pula dengan kita.. penghayatan kita kepada makna hijrah. Sudah berhijrahkah kita? Hijrah minda dan keyakinan, hijrah sikap dan akhlaq, hijrah identiti dan peribadi agar semuanya berada di dalam bingkai yang diredhai Ilahi.

Di awal-awal Muharam ini, hendaknya menjadi ruang-ruang muhasabah diri.
Mudah-mudahan kita berhijrah.. daripada menjadi hamba yang mencari selain dari-Nya dalam kehidupan dunia yang singkat ini, kepada hamba yang hakiki, yang mana hanya mencari Allah di dalam kehidupannya.

Manifestasi Hijrah: Menjadi hamba yang 'lebih' sujud

Usah takut dan gentar untuk memulakan langkah hijrah. Usah ragu dan risau akan duri-duri yang mungkin menyucuk apabila berada di atas jalan yang lurus.

Terkenang peristiwa bilamana Rasulullah solallah alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar radhiyallahu anhu berada di dalam gua Thur.

Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a ketakutan dan cemas bimbangkan Baginda diapa-apakan oleh musyrikin Makkah. Apa kata Rasulullah Al-Amin?

Baginda menuturkan “Janganlah engkau merasa risau dan sedih. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.”

InsyaAllah..saudaraku yakinlah Allah bersama kita.

Salam tahun baru 1432H. Moga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lalu.



1 Muharam 1432H
Al Haqeerah,
Ummulbarakah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Keep in ukhuwwah

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP