life is about choices
Wednesday, May 26, 2010
Hidup ini dibentangkan dengan pilihan – pilihan. Setiap hari, sama ada sedar ataupun tidak, kita akan berdepan dengan pilihan . Dari perihal rutin seharian seperti ‘ hari ni nak makan apa? ’, ‘nak pakai baju yang mana ya? ’,’ nak pergi shopping di mana?’, ‘nak beli yang mana? ’, ‘ nak baca buku apa? ’, ‘nak pilih warna apa? ’ atau pun ‘ nak pergi mengaji ke,nak rehat di rumah saja? ’. Dari perihal rutin yang nampak simple, sehinggalah kepada hal – hal yang besar dan complicated di dalam kehidupan seseorang. Ada tentang jodoh, tentang kerjaya,tentang cinta ( ups! ), tentang cita – cita, atau tentang apa saja. Ternyata, semuannya adalah pilihan – pilihan yang menuntut keputusan.
Keputusan yang akan dibuat pula bergantung kepada cara kita melihat pilihan – pilihan tersebut.Ia berbalik kepada nilaian peribadi atau pun inner value dalam diri seseorang , yakni berdasarkan neraca apa dia menimbang pilihan yang terbentang di depan mata. Adakah keputusan itu dibuat di atas neraca taqwa ataupun nafsu dulu yang berbicara ?
ISTIKHARAH & ISTISYARAH
Agama kita mengajarkan supaya keputusan yang hendak dibuat haruslah melalui istkharah dan istisyarah. Sungguh, tidak lengkap istikharah tanpa istisyarah ataupun sebaliknya. Istikharah tidak dapat berjalan secara tunggal tanpa diapit oleh istisyarah. Di situ ada pergantungan kepada Khaliq dan hubungan dengan makhluq. Menurut para ulama’, jawapan kepada istikharah pula tidak mutlak melalui mimpi semata - mata. Petandanya mungkin saja melalui gerak hati, kecenderungan atau pun dipermudahkan jalan – jalan kepada urusan tersebut. Boleh jadi juga, jawapan istikharah ada pada istisyarah. Perbincangan demi perbincangan akhirnya sampai kepada satu titik jawapan. Pastinya istikharah tidak sekali – kali dikesampingkan kerana istikharah dan istisyarah ibarat irama dan lagu. Jika kurang salah satu, maka pincanglah ia. Istisyarah tanpa istikharah pula seolah – olah kita lebih mengutamakan pendapat makhluq daripada Sang Pencipta. Jelas di situ akan terjadi kepincangan kerana ‘pendapat’ Allah dibelakangkan.
Di Malaysia, pada sesetengah orang, istikharah hanya relevan untuk urusan jodoh sahaja. Istikharah hanya untuk urusan nikah kahwin. Doa istikharah pula wujud dalam pelbagai bentuk dan versi. Ada juga yang saya jumpa berbunyi begini ‘ Ya Allah, andainya dia telah ditetapkan untukku, maka dekatkanlah dia kepadaku, permudahkan urusan Ya Allah.. tapi seandainya dia bukan untukku, bawalah dia jauh dari pandanganku dan tunjukkanlah kelemahan dan keburukannya ‘. Allahu.. rangkap pertama di dalam doa tersebut, InsyaAllah bisa saja diamalkan cuma rangkap yang terakhir, mudah – mudahan bukannya pilihan. Apa perlunya kita meminta supaya Allah membentangkan keburukan dan kelemahannya kepada kita ? Bukankah kelemahan dan aib sendiri lebih banyak untuk diselidiki. Permintaan sebegitu hanya memakan diri, dan kalau pun Allah membuka aibnya di depan mata kita, apa faedahnya? Apa yang kita akan dapat ? Melainkan kita akan terus berburuk sangka dan menganggap ‘aku lebih baik dari dia, dia tidak layak untukku kerana keburukan dan kejelikan – kejelikannya’
Ya Salam… Menganggap orang lain buruk dan kita sahaja yang baik sebenarnya merupakan perangai setan. Oh, bunyinya mungkin agak kasar. Renungkan firman Allah :
“ (Allah) berfirman ‘Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak
bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik
daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari
tanah.” ( Al A’raf : 12)
Bahaya kan virus “ Aku lebih baik dari dia ” ? kerana disitu ada bibit – bibit riyak dan takabbur, sifat makhluq penentang Tuhan. Cukuplah kita memohon, ‘andai dia bukan untuk ku, berilah petunjuk Mu ’. Cukup sekadar itu. Mungkin ‘petunjuk’ Nya adalah sukarnya urusan, ataupun calon tersebut tidak dipersetujui oleh ibu bapa kita kerana beberapa faktor lain dan sebagainya. Bukannya meminta agar disingkap segala aib – aibnya. Macamlah kita tidak punya aib…
Allah akan memberikan yang terbaik kepada kita. Itu benar. Seandainya seseorang itu bukan ditaqdirkan untuk kita, maka dia bukannya yang terbaik untuk kita dalam konteks ‘kesesuaian’ dan ‘keserasian’. Kesesuaian dan keserasian itu pula akan berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain. Misalnya, Jika dia orang yang beragama, boleh jadi dia bukannya orang yang serasi dan sesuai dengan kita dari sudut fikrah , mungkin tidak sesuai dengan kerjayanya, mungkin cita – cita tidak sama, mungkin, mungkin…. Pelbagai kemungkinan.
Hanya Allah yang tahu.
Apa yang jelas ingin dikatakan disini, jika dia bukannya yang terbaik untuk kita, bukannya bermakna dia orang yang tidak baik atau pun kita lebih baik dari dia. Ukurlah dengan neraca agama. Si dia yang Allah pilih untuk kita adalah orang yang paling serasi dan terbaik untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui keadaan dan diri seseorang. Apa yang bukan menjadi pilihan maka janganlah disertakan dengan kebencian, atau pun buruk sangka yang bukan – bukan, kerana sebenarnya apa yang diinginkan dari hidup ini adalah redha Tuhan.
Hakikatnya, pilihan dalam kehidupan akan terus berlaku sehingga hari kiamat. Selagi mana jantung berdenyut, haq dan batil akan terus berlawan. Minta dipilih menjadi teman. Maka di situ pastikan neraca taqwa memainkan peranan. Bagaimanana cermin pandang kita kepada pilihan – pilihan tersebut. Ada individu yang menangisi kematian As Syahid Syeikh Ahmad Yasin, Bapa Intifadha Palestin yang dibunuh dengan kejam di atas kerusi roda. Ada juga yang “memilih” untuk menangis tersedu sedan ketika Mawi tersingkir dalam pusingan Akademi Fantasia sia - sia. Menangis adalah suatu perkara yang biasa, cuma apa dan kenapa yang membuatkan kita “ memilih” untuk menangis, berbalik kepada ‘neraca’ apa yang kita guna, agar air mata kita yang tumpah tidak sia – sia disisi agama.
Dan akhirnya, di akhir perjalanan hidup kita, Pilihannya cuma dua. Tidak ada yang ketiga.
SYURGA atau NERAKA.
It’s your choice.
أم البركه
0 comments:
Post a Comment