Di medan getir ini : bilakan menyatu... ?

Sunday, June 10, 2007




Dengan asma’ Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Limpahan selawat dan salam moga senantiasa tercurahkan pada tiap kerdipan mata, detakan jantung dan hembusan nafas, buat Rasul junjungan mulia yg terlalu kasihkan ummat.

Saat terkenangkan Rasulullah (saw), berbaur perasaan antara hiba, takut dan rindu. Rindu pada insan mulia yang membawa ummat dari lembah dzulumat ke daerah Nur. Rindu mengenangkan kelembutan kata, kemanisan wajah dan santun peribadinya, sehinggakan akhlaq Rasul mulia dinukil oleh ummul mukminin sebagai Al Quran. Rindu, pada insan istimewa yang bergolok gadai, berjerih perih demi kebangkitan syiar yang natijahnya, menjadi pedoman buat ummat. Rindu serindu rindunya pada kekasih yang di akhir hembusan nafasnya, masih sanggup menggumamkan nama, “Ummati…Ummati…Ummati… “ Kitakah ummat yang bertuah itu ?

Dan takutku, mengenangkan apakah bisa meraih syafaat Rasul ? Cintakah kita pada jalan yang pernah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat ? Jalan getir yang panjang, jalan dakwah dan tarbiyyah - dalam misi menyeru manusia kepada Allah. Kitakah mata – mata rantai perjuangan, penyambung kerja – kerja para nabi? Kitakah abna’ harakah yang rindu untuk melihat syiar Deen tertegak di muka bumi ini ? Diri ini gusar sebenarnya, melihat jemaah – jemaah thaghut yang tidak pernah mengenal erti jemu, yang tidak pernah menzahirkan kata putus asa didalam diari mereka untuk “berdakwah”. Mereka rela berkorban harta, tenaga, masa, jiwa dan raga demi sebuah matlamat sesat ! Tidak cukup dengan itu, mereka mengatur strategi dan menyerap fahaman mereka kedalam system hidup muslim. Mereka menyerang individu muslim, baitul muslim dan masyarakat muslim melalui proxy – proxy yang mengatasnamakan “Hak asasi,” “Islam Liberal,” “ Hiburan - Rentak kita rentak dunia,” “ Tour dan konsert Pasti Kecoh, ” “ Anugerah Proxy Terbaik, “ “Akademi Mari Berfantasi, ” “ Konsert amal “ dan seumpamanya yang terlalu banyak utk disenaraikan. Mereka mempromosikan majalah-majalah dan filem-filem yang merai nafsu dan syahwat, aksi lucah dan porno, seks bebas - zina, hubungan sejenis - homoseks, dan mempropagandakan kebebasan beragama serta kepincangan lainnya yang mengancam aqidah dan tauhid ummat Muhammad.


Artis digambarkan dan dimomokkan sebagai contoh tauladan terbaik. Cara hidup segolongan mereka yang tersasar dari landasan syariat digembar – gemburkan sebagai up to date lifesytle, moden , dan “qudwah” untuk diikuti. Kata – kata mereka yang menyimpang dari Al - haq diambil sebagai “fatwa”. Betapa bersungguhnya mereka mempromosikan kefasiqan dan kejahilan dalam beragama, dengan usaha gigih membuat ‘tour’ dari satu negeri ke satu negeri dan secara sedar ataupun tidak, mereka sebenarnya telah mencipta satu bi’ah yang ‘memasyarakatkan artis dan meng artiskan masyarakat ’. “Dakwah” mereka ‘seperti mudah diterima’ dengan senang hati. Buktinya, golongan ‘emas dan perak’ yang berumur dalam lingkungan 50an dan 60an turut bersesak – sesak dan berpeluh – peluh dalam lautan muda-mudi didalam konsert – konsert ‘pasti kecoh’. Hakikatnya, masyarakat muslim hari ini sedang di“tarbiyyah” oleh satu system yang mengajak manusia untuk ‘ghaflah’ ataupun lupa kepada Allah. Sistem yang sebenarnya menghalang usaha–usaha ‘Amar makruf Nahi Mungkar’ dengan menggalakkan artis dipuja dan disokong menggunakan kaedah ‘voting’, secara tidak sedar masyarakat hari ini sebenarnya sedang mengiyakan kpd satu system ‘Amar mungkar Nahi makruf ’- hanya dihujung jari. Inilah ‘tali barut’ kepada kerosakan, keparahan dan jahanamnya akhlaq dan syaksiyah generasi muda pewaris Islam hari ini.

Andai puak kuffar bersusah-payah untuk dakyah yg sesat dan menyesatkan, dimanakah kita, mujahid- mujahidah dakwah yang yakin dengan kebenaran Islam,yang tunduk kpd kebenaran Robbani, yang dihatinya thabat dengan janji Allah dan Rasul ?
Dan dimanakah pembela – pembela Islam yang ummah rindukan ? Dimanakah syabab pencinta kebenaran, penaung panji – panji Islam ? Siapakah yang bisa mengejutkan pemuda – pemudi hari ini yang sedang khayal dalam cinta Romeo dan Juliet yg berkiblatkan barat ? dan dengan bangganya mensiulkan “Aku memang Pencinta Wanita…”, Siapakah yang akan menyelamatkan umat dari krisis kemurtadan yang hari ini terjadi bagaikan tiada sempadan ? Rasul – Rasul palsu dan ajaran sesat yang berkeliaran ? anak – anak gadis yang melemparkan bayi-bayi comel di jalanan ? kes bunuh , rogol dan pelacuran ? Adakah agama yang jadi taruhan ?

Ayuh bangkit ! Usahlah bercakaran dengan masalah-masalah khilafiah dan furu’, mentabdi’kan, mentakfirkan dan menyesatkan sesama muslim dek menegakkan afkar sendiri. Bilakah kita akan bersatu ? Berpadu di bawah kubah Islam demi matlamat yang satu. Berganding bahu di medan dakwah yang pastinya teruji, kerana disitu jalan yang terjamin menuju redho Ilahi. Marilah kita sama- sama berusaha untuk menyumbang apa yang terdaya kepada ummah ini. Rasulullah (saw) pernah bersabda, lakukanlah amal itu setakat kemampuamu, Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan sehingga kalian merasa bosan, dan sesunguhnya amal yg paling disukai Allah ialah amal yg dilaksanakan secara istiqamah (berterusan) biarpun sedikit .(Riwayat Bukhari)

Moga – moga kitalah ummat yg Rasulullah gelar sebagai ‘ikhwani’ (saudara- saudaraku), ummat yang merindui dan dirindui Rasulullah, dan dihimpunkan diakhirat nanti bersama para Rasul, Ambia’ dan Pencinta Al – Haqq . Katakanlah…” Aku memang Pencinta Allah dan Rasul…”
Tegakkanlah DEEN dalam diri, kan melatalah ia ke segenap pelusuk bumi
~ Bumi ujian.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Keep in ukhuwwah

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP